
Tuesday, October 20, 2009
Bawa isu undi pos ke peringkat antarabangsa
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) bercadang untuk memanjangkan isu undi pos dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang ke peringkat antarabangsa sekiranya aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini, tidak mendatangkan sebarang hasil.
Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan berkata untuk tujuan itu, mereka akan mengambil contoh seperti yang dilakukan oleh pembangkang Afghanistan, yang telah berjaya membatal keputusan pilihan raya negara itu, yang melibatkan lebih sejuta undi.
“Kemungkinan besar juga kita akan bawa ke peringkat antarabangsa seperti langkah yang diambil oleh lawan kepada (presiden) Hamid Karzai di Afghanistan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat yang menyerahkan aduan mereka kepada Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Siva Subramaniam di pejabatnya pagi ini.
Dalam aduan tersebut mereka telah menyenaraikan sembilan kesalahan yang mencabul hak asasi sewaktu pengendalian pengundian pos dalam plihanraya kecil DUN tersebut, 11 Oktober lalu.
Membentangkan aduannya bagi menuntut sebuah siasatan awam dijalankan untuk menyiasat dakwaan tersebut, Suhaizan mendakwa terdapat ketidaktelusan dan keraguan dalam proses penyerahan kertas undi, perbezaan susunan dalam daftar undi pos dan nama pengundi pos yang ditetapkan di dua kawasan pengundian berbeza.
Suhaizan juga berkata, kegagalan PAS mendapat sebarang undi di saluran 14, 15 dan 16 yang melibatkan hampir 900 pengundi dalam pilihan raya di DUN itu, adalah tidak munasabah.
"Persoalannya mengapa PAS dapat kosong (undi) dan BN dapat 881? Apakah munasabah anggota tentera yang dalam proses pencen tidak langsung mengundi PAS?" katanya, mendakwa golongan tersebut biasanya lebih kritis kepada kerajaan.
Beliau yang mengetuai jawatankuasa undi pos dewan itu juga mendakwa, terdapat pasangan suami isteri yang diberikan kertas undi pos berdekatan sebuah pasar mini dekat Teluk Kemang pada jam 7.30 petang.
"Jika inilah cara penyerahan sampul keutamaan, maka kaedah ini sangat mudah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kaedah ini sangat mencurigakan," katanya.
Sementara itu, Siva berkata, beliau akan memanjangkan aduan Pemuda PAS itu kepada Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman dan barisan pesuruhjaya sebelum membuat keputusan sama ada perlunya diadakan siasatan awam tersebut.
Katanya, Suhakam sendiri telah banyak kali menerima aduan mengenai dakwaan penyalahgunaan undi pos.
Sehubungan itu, katanya, Suhakam telah menggariskan beberapa cadangan bagi penambahbaikan sistem itu.
Antaranya, kata Siva lagi, ialah menghadkan undi pos hanya untuk anggota pasukan keselamatan yang menjalankan “tugas aktif” – dalam peperangan, menjaga sempadan dan menjadi diplomat.
DUN Bagan Pinang mempunyai jumlah pengundi pos yang ramai iaitu 4,611 daripada keseluruhan 13,664 pengundi di situ.
Pengundi pos itu terdiri daripada 4,571 anggota tentera dan 31 lagi anggota polis dan awam. -http://malaysiakini.com/bm/
SUMBER BERITA LAIN
-
Ibu Pelajar UnIPSAS Kemalangan Dakwa Muhammad Firdaus Anak Baik, Doakan Anaknya Tenang Di Alam Sana - *KUANTAN: *"Arwah memang sangat baik dan tak melawan cakap. Sebagai ibu, saya doakan dia tenang di sana bersama para solihin," kata Norizan Mat, 48, ibu ...17 hours ago
-
Rejim Zionis Israel gali kubur sendiri – Tuan Guru Abdul Hadi - * KUALA LUMPUR* : “Kezaliman rejim Zionis sebenarnya hanya akan menggali kubur diri mereka sendiri.” Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ber...9 months ago
-
-
-
'Rasul Melayu' dipenjara 10 tahun, 6 sebatan - Ketua ajaran sesat "Rasul Melayu", Abdul Kahar Ahmad hari ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syar...15 years ago
-
RENUNGAN UNTUK SEMUA BANGSA MELAYU - Renungan Untuk Bangsa MELAYU: tak kira PAS, KeADILan atau UMNO. ...18 years ago
-
No Response to "Bawa isu undi pos ke peringkat antarabangsa"
Leave A Reply