Tuesday, October 20, 2009

BN campur MCA jika diminta

Posted on 10:20 PM by the moon


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan campur tangan dalam kemelut kepimpinan MCA kecuali jika diminta berbuat demikian oleh semua anggota jawatankuasa pusat (CC) parti itu.

Timbalan perdana menteri berkata hanya jika jawatankuasa pusat sebulat suara berpendapat bahawa nasihat perdana menteri diperlukan untuk menyelesaikan krisis itu, baru Najib selaku pengerusi BN akan campur tangan.

"Beliau (Najib) telahpun menyatakan bahawa kita ingin melihat bagaimana MCA menangani isu itu, dan jika mereka berjaya, pujian harus diberikan kepada mereka.

"Jika kita masuk campur dan berkata ini dan itu, orang akan menganggap kita ini campur tangan, kecuali jika semua anggota CC merasakan orang yang dapat membantu ialah perdana menteri ataupun saya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Muhyiddin berkata sekiranya permintaan itu dibuat oleh anggota jawatankuasa pusat, perdana menteri akan mempunyai "locus standi" untuk membuat keputusan.

"Dan apabila perdana menteri membuat keputusan, maka kita harus terimanya," katanya.

Seperti yang dinyatakan oleh perdana menteri, Muhyiddin berkata, beliau juga berharap soal siapa yang akan menerajui dan meneruskan perjuangan parti perlu ditentukan segera supaya parti itu tidak terus terumbang-ambing kerana ia tidak membantu daripada segi pengukuhan BN dan kerajaan.

"Tentunya masyarakat Cina juga mahu melihat MCA dapat menyelesaikan masalah mereka dengan cepat kerana MCA adalah satu rakan yang senior dalam BN, jadi kesannya agak besar.

"Kalau dia tak selesai, bermakna semua orang akan rasa tak begitu menentu keadaan," katanya.

Beliau berkata apa yang penting ialah penyelesaian yang dicari perlu berpandu kepada peruntukan perlembagaan parti selain mengambil kira keputusan mesyuarat agung luar biasa yang baru lepas.

Muhyiddin berkata bahawa dalam membuat sebarang keputusan, MCA juga perlu menilai hasrat perwakilan di peringkat perhimpunan itu selain untuk menjaga integriti dan maruah parti kerana MCA bukan hak individu.

"Jangan fikir MCA itu hak (Datuk Seri) Ong Tee Keat ke, (Datuk Seri Dr) Chua Soi Lek atau (Datuk) Liow Tiong Lai... itu bukan hak individu, itu hak rakyat khususnya orang Cina. Jadi mereka ada kepentingan.

"Kita yang rakyat bukan Cina pun ada kepentingan iaitu untuk melihat MCA sebagai parti yang kuat supaya kita boleh bergerak sama-sama," katanya.

Muhyiddin bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai keputusan Ong untuk terus kekal sebagai presiden MCA walaupun kalah dalam satu undi tidak percaya.

"Saya tidak mahu menyatakan dia elok pergi, tak elok pergi. Saya fikir pemimpin MCA pun tahu apa yang harus dibuat oleh Datuk Ong Tee Keat.

"Saya sudah dengar banyak kenyataan dan saya tidak fikir sesuai untuk saya campur tangan, kerana pandangan saya nanti akan dinilai (sebagai) ini kehendak Umno.

"Saya tidak mahu begitu, biarlah ini hak MCA, MCA putuskan," katanya.

Muhyiddin berkata beliau yakin bahawa pemimpin MCA semuanya bijak pandai kerana kebanyakannya bukan orang baru dalam parti mahupun kerajaan. BERNAMA-malaysiakini.com

No Response to "BN campur MCA jika diminta"

Leave A Reply

SUMBER BERITA LAIN

NEWS WORLD

IKLAN