Thursday, October 15, 2009

Ong hadapi 'pemberontakan dalaman'

Posted on 8:09 PM by the moon


Jawatankuasa Pusat MCA sekali lagi melakukan kejutan semalam apabila presiden Datuk Seri Ong Tee Keat bercadang memanggil satu lagi mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi memutuskan sama ada perlu satu pemilihan baru kepimpinan parti.

Selepas tiga jam bertolak ansur dan berunding, satu gambaran jelas terpapar iaitu jawatankuasa itu kini berpecah kepada tiga kumpulan - penyokong setia Ong, penyokong Datuk Seri Liow Tiong Lai dan penyokong Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Majoriti daripada ahli jawatankuasa berpengaruh itu dikatakan pernah berpihak kepada Ong.

Dalam mesyuarat itu, difahamkan Ong didakwa diminta meletak jawatan dengan segera berdasarkan surat yang ditandatangani bersama oleh kira-kira 20 anggota CC termasuk dua naib presiden.

Mereka telah menandatangani surat itu malam sebelumnya semasa satu mesyuarat yang dipanggil oleh salah seorang daripada empat naib presiden parti di sebuah hotel berdekatan dengan Wisma MCA di Kuala Lumpur.

"Dua daripada naib presiden tidak menurunkan tandatangan manakala lain yang ada berbuat demikian. Ia sebenarnya pemberontakan dalaman.

"Apa yang menarik ialah tiada penyokong Dr Chua dalam jawatankuasa CC menandatangani surat itu," seorang dalaman parti memberitahu Bernama.

Sumber yang sama memberitahu Ong juga memuji penyokong Dr Chua kerana "mempunyai prinsip" dengan memilih untuk tidak menandatangani surat itu.

Penyokong Dr Chua, Loh Seng Kok, yang juga anggota CC, berkata mesyuarat itu sebenarnya satu pertarungan antara penyokong dan bekas pengikut Ong.

Katanya, kumpulan Dr Chua hanya inginkan pemilihan baru supaya ianya menjadi medan perebutan kuasa yang adil.

Kumpulan dalaman parti berkata semasa mesyuarat itu, Ong menjelaskan, oleh kerana keputusan EGM Sabtu lepas tidak meyakinkan dan akar umbi berpecah maka cara terbaik menyelesaikan krisis dalaman adalah dengan mengadakan pemilihan
baru.

Ong juga dikatakan menjelaskan bahawa tindakan disiplin terhadap Dr Chua merupakan keputusan kolektif oleh Majlis Presiden dan CC dan oleh kerana perwakilan menolaknya maka CC juga perlu mendapatkan mandat baru.

Ong kemudian mengarahkan setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Ming memanggil sebuah mesyuarat EGM mengikut Artikel 30.1 Perlembagaan parti sama ada parti itu harus mengadakan pemilihan baru bagi CC, kata orang dalaman itu.

Seorang pemimpin akar umbi, yang enggan dinamakan, berkata Ong muncul sebagai pemenang pada mesyuarat hari ini apabila menggunakan EGM sebagai kekuatan unggulnya untuk membalas dendam terhadap pembelotnya dalam CC yang enggan mendapatkan mandat baru.

"Ong telah berjaya memperdaya mereka dengan teliti dan cekap pada Pusingan 2 selepas tewas pada Pusingan 1," katanya. dari malaysiakini.com

No Response to "Ong hadapi 'pemberontakan dalaman'"

Leave A Reply

SUMBER BERITA LAIN

NEWS WORLD

IKLAN