Wednesday, October 21, 2009

Status Suhakam dinilai bulan depan

Posted on 2:38 AM by the moon


Satu penilaian khas berkenaan status Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan dijalankan pada 14 hingga 16 November ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata penilaian khas itu akan dijalankan oleh "Jawatankuasa Penyelaras Antarabangsa Mengenai Institusi Kebangsaan Bagi Pengenalan dan Perlindungan Hak Asasi Manusia Sub Jawatankuasa untuk Pengiktirafan" (ICC SCA).

Liew berkata sehingga kini status Suhakam adalah pada status A.

"Hanya pada tarikh tersebut keputusan muktamad mengenai status akreditasi Suhakam akan dibuat," katanya menjawab soalan R. Sivarasa (PKR-Subang) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sivarasa ingin tahu mengenai langkah seterusnya untuk memastikan bahawa Suhakam tidak diturunkan statusnya kepada status B oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana tidak mematuhi Prinsip-Prinsip Paris.

Liew berkata kenyataan bahawa Suhakam tidak mematuhi Prinsip-Prinsip Paris adalah tidak benar memandangkan kerajaan telah membuat pindaan sebanyak dua kali kepada Akta 597 bagi menekankan lagi ketelusan dalam proses lantikan anggota Suhakam seperti yang ditekankan dalam Prinsip-Prinsip Paris.

"Dengan pindaan akta tersebut diharapkan ICC SCA berpuas hati dengan langkah-langkah yang telah diambil Malaysia bagi mengekalkan kedudukan Suhakam pada status A," katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan Sivarasa mengenai seorang Pesuruhjaya Suhakam yang tidak dibenarkan melawat depot tahanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menemubual 200 pelarian dari Sri Lanka pada Isnin lepas, Liew berkata perkara itu adalah tidak benar.

"Mengikut rekod yang ada pada kami, tiada permohonan dari Suhakam untuk melawat depot tahanan KLIA pada masa itu. Pada waktu itu hanya UNHCR yang melawat depot KLIA," kata beliau merujuk kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Orang Pelarian (UNHCR).

"Sekiranya pihak Yang Berhormat ingin melawat depot tahanan bolehlah berhubung dengan pihak kami. Kementerian Dalam Negeri dan pihak Imigresen juga sentiasa buka pintu untuk menyambut kedatangan pihak Yang Berhormat ataupun Suhakam," katanya. - Bernama-http://www.malaysiakini.com

No Response to "Status Suhakam dinilai bulan depan"

Leave A Reply

SUMBER BERITA LAIN

NEWS WORLD

IKLAN